top of page
Search

Ingatan Hari-hari Terakhir Ibu

  • Writer: Nabilah Mazalan
    Nabilah Mazalan
  • Jul 2, 2020
  • 17 min read

Updated: Feb 19, 2021

Ini ialah nukilan peribadi anak Mu Ibu (Arwah Hajjah Zaiton binti Mohamed) untuk Ibu.

Warkah ini dikarang pada 3 Julai 2020. Al Fatihah untuk Ibu.

Terima kasih untuk segala memori yang indah.

Alhamdulillah.

Hidup ini tak pernah berhenti untuk memberikan segala kejutan.


23 November 2019


Ulang tahun kelahiran aku yang terakhir bersama dengan Ibu aku, Hjh Zaiton binti Mohamed.

Sebelum bertolak ke Salak Tinggi, pagi itu ibu sempat lagi pakai baju yang Ibu long jahit untuk Ibu sempena pakaian rasmi kumpulan Bacaan Yasin wanita Taman Desa Idaman. Pagi itu ibu macam biasa, dengan aktiviti sosial nya, membaca Yasin bersama kumpulan wanita tersebut. Dapat ibu pakai baju Ibu long jahit, dapat Ibu baca Yasin dengan kawan-kawan rapat dia, dan dapat Ibu bergembira dan menikmati saat itu. Alhamdulillah.


Hari Sabtu, kami ke rumah abang Ahmad di Salak Tinggi kerana suami aku, Amin ada larian Putrajaya Night Run, dapat lah aku sambut ulang tahun bersama Ibu dan Ayah pada hari ini kerana kebetulan Ibu dan ayah ada kenduri kahwin di Kuala Lumpur pada 24 November 2019.

Jika aku tahu ini lah kali terakhir sambutan hari jadi aku, akan aku peluk erat Ibu, beri hadiah dan tanda terima kasih sebab lahir kan aku di dunia ini.


Hari Ahad, Ibu, ayah dan Abang Ahmad sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur. Aku siapkan Ibu cantik-cantik sebab ibu memang seorang yang suka bercantik dan berhias, sangat menjaga penampilannya. Aku seperti biasa akan ambil gambar Ibu, sebagai kenang-kenangan. Ibu pon cantik sangat nak bersiap ke kenduri kahwin tersebut.

Hujung minggu itu Ibu dah mula batuk-batuk, suara pun dah mula serak dan hilang, pinggang Ibu juga dah mula sakit.


“Kak, pinggang Ibu ni sakit sikit, nanti balik rumah, nak suruh cik mala urut.” kata Ibu.

“Yelah ibu, buat cepat-cepat, jangan bagi melarat, Ibu pun ada batuk tu, nanti akk bagi Essential Oil RC untuk Ibu, mana tahu elok.” Aku balas.


Kesihatan Ibu sebenar nya dah mula merosot:

1. Mula sakit pinggang

2. Mula serak suara

3. Mula sakit mata, tak selesa, berdenyut

4. Tangan Ibu dah mula kebas-kebas

5. Kencing dan berak yang sangat kerap

6. Cepat letih, sebab nadi sangat laju

Baju yang terakhir dijahit oleh Ibu Long untuk Ibu





December 2019

Awal bulan Ibu dah mula berurut sebab pinggang dan belakang ibu sakit. Mata Ibu yang tak selesa tu tak settle lagi, kami nasihat kan Ibu ke klinik Dr Zul di Durian Tunggal cek kenapa dengan mata dan tekak Ibu. Ibu pun dah mula macam nak semput, paru-paru dah tak selesa, nadi pun laju semacam.


10 December 2019 

Ibu ke klinik, dapat ubat untuk sakit tekak, ubat untuk kurang kan kelajuan nadi, ubat titis mata, dan ubat makan untuk ketegangan urat. Tapi tekanan darah tinggi Ibu ok, normal.


16 December 2019

Kesihatan Ibu tidak juga pulih, masih macam itu sahaja walaupun dah makan ubat dan dah berurut. Kami nasihat kan Ibu ambil darah, cek sakit apa yang sebenar nya di klinik kesihatan Durian Tunggal.


Ibu dan adik Faiz ke Klinik Kesihatan untuk ambil darah, kemungkinan besar Ibu ada tiroid. Kalau tiroid, ada ubat, insyaAllah boleh elok, kata kami adik beradik pada Ibu.


Doktor pesan, kalau lepas dua minggu, tiada terima panggilan telefon tentang keputusan darah ini, bermaksud bukan tiroid, tapi jika kurang dari dua minggu, ada lah sesuatu tu.


Kami adik beradik dan ayah betul-betul risau dengan Ibu sebab Ibu macam dah mula semput, sukar bernafas sampai adik Hanisa dan adik Faiz hari-hari ajar cara bernafas. Makan pun Ibu dah tak selera, sebab tekak nya tak sedap nak telan semua makanan, nak makan yang lembut-lembut macam bihun sup dan bubur sahaja.


Aku dah mula siapkan lauk untuk seminggu untuk ayah, Ibu dan faiz. Hari sabtu dan ahad aku sediakan beberapa lauk, Hanisa dan Faiz pun kadang-kadang dah beli makanan untuk makan malam.

Setiap hari, kami adik beradik akan tanya tentang kesihatan Ibu. Jawapan Ibu, “Ada lagi sakit pinggang tu, tapi beransur pulih InsyaAllah.”


23 December 2019

Ibu orang pertama ucap selamat hari jadi di group wasap Komandor untuk menantu nya Nur dan adik nya cik nab (21 Dec). Ibu aku ni, semua benda dia ingat, mana nak dapat ganti Ibu macam ni.

Masih ingat lagi, ada sesi usik mengusik dari adik beradik Ibu, macam biasa, Busu akan usik Ibu, gurau-gurau kasar adik beradik. Indah betul usikan itu, sekarang dah tak dapat baca lagi dan dengar lagi. Allah Allah, aku sangat sayang kan Ibu.


24 December 2019

Klinik Kesihatan Durian Tunggal telefon adik Faiz minta untuk datang ke klinik kerana keputusan darah dah keluar. Berdebar nya Ya Allah. Dalam hati dan mulut tak putus berdoa biar lah keputusan tiroid itu negatif.


Faiz mula-mula tak nak beritahu Ibu sebab nanti Ibu susah hati, nadi nya akan bertambah laju, boleh bawa ke jantung. Tapi, Faiz beritahu la juga. Ibu dan Faiz ke KK Durian Tunggal selepas zohor.


Seperti yang dijangka, Ibu positif hipertiroid. TH :23.3 dan TSH : 0.64.

Doktor beritahu Ibu dan Faiz, normal bacaan bawah 22. Kami adik beradik dan ayah pun cari lah info tentang hipertiroid, google la segala jenis info.


Ibu dibekal kan ubat Carbimazole untuk stabilkan hormone tiroid dan Propranolol untuk stabil kan nadi Ibu.

Aku telefon Ibu untuk tenang kan Ibu. “Kak, Ibu kena tiroid la pula, macam mana ni?”

“Ibu, ok je tiroid ni, kan cik mala dgn cik su kena, diorg dah ok dah, Ibu makan ubat, rest banyak2, nanti ok la insyaAllah, jangan susah-susah hati sangat, boleh elok ni”

Kalau nak ikut kan, banyak lagi perbualan dengan Ibu, yang masih segar dalam ingatan aku ini. Wassap memang tak putus-putus, kalau boleh nak berlari waktu tu juga duduk dengan Ibu, dan borak selalu.

Allah Allah..ini lah yang di namakan rindu.


28 December 2019


Hari ini ahli keluarga Komandor berkumpul sempena meraikan hari jadi Abah(atuk kami). Kalau cerita tentang gathering ini, Ibu adalah orang yang paling suka nak jadi tuan rumah dan nak berkumpul ramai-ramai.


Kali ini berbeza, Ibu dah tahu ada hypertiroid ditambah dengan lemah badan dan tiada selera makan. Selepas zohor, ramai dah mula datang. Busu, Angah, Cik Nab dan lain-lain pun datang. Aku masak lontong sahaja. Yang lain-lain macam kek dan kuih muih, ada yang dah bawa.

Ibu seronok sangat, dapat berborak dengan adik beradik, anak-anak buah, cucu-cucu dan Abah. Yang jauh-jauh luar Melaka tak dapat nak balik sebab kekangan masa dan jadual.


Bila Ibu dah tiada ini, benda yang paling aku belajar ialah bersilaturrahim. Jika ada kesempatan masa dan ketika, luang kan pada yang mengambil berat tentang kita. Cuba dan usahakan. Ambil gambar memori sebanyak yang mungkin, abadi kan dan kenang benda-benda yang baik sahaja. Jangan la kerana satu kesalahan, sepuluh kebaikan yang dilakukan, kita kenang dan ingat yang salah itu sahaja. Memaafkan itu mulia, hati pun akan jadi tenang.


Ibu oh Ibu, tiada galang ganti buat diri Mu, mana nak cari orang yang satu kan semua ahli keluarga nya paling kerap. Aku cuba untuk jadi begitu, insyaAllah.

Selesai majlis, Ibu cakap “Kak, seronok kan jumpa ramai-ramai ni, tapi Ibu tak sihat pula, sian korang, penat. “

“Ala Ibuni, biasa lah penat, tapi nanti ok lah ni.” Aku balas.

“Tu la Ibu, kita nak kumpul ramai-ramai, boleh jumpa semua, Ibu pon seronok kan?” Hanisa pun mencelah.



Gathering semasa 28 Disember 2019

Gathering dan beberapa aktiviti yang Ibu selalu lakukan






30 December 2019


Mulut Ibu dah mula kebas, suara makin serak, nak bercakap pun susah, nadi masih lagi laju, kesian Ibu, sebab dah makan ubat, tapi tak elok-elok juga sakit nya. Pinggang tu sapu-sapu kan minyak young living yang aku dah dilute. Aku pun ada beli endoflex memang untuk tiroid.

Kesihatan Ibu masih tidak pulih, Ibu dah mula rasa haus yang melampau, dan kerap kencing berak.

Ibu juga dah tak masak lagi, baring sahaja sebab pinggang dah tak larat ditambah dengan hipertiroid lagi. Kami pun nasihat kan Ibu untuk Ibu selalu rehat.


Kami adik beradik dan ayah memang dah suruh Ibu rehat je, makan makanan yang Ibu selera je, buah-buahan ayah buat jus. Ibu dah tiada selera nak makan dah waktu ini, apa yang masuk, selalu rasa nak muntah, Ibu buat sulam makan nasi dengan buah, itu pun ibu paksa makan supaya ada tenaga. Setiap beberapa jam, minum susu kambing, air kurma yang ayah blend, durian belanda yang dah blend. Semua makanan dan minuman yang lembut-lembut sahaja.


Kami susah hati tengok Ibu, tapi bila jumpa doktor, memang doktor cakap hipertiroid macam ini la, tiada selera makan(sampai hormon stabil), nadi laju, cepat haus, kebas-kebas di beberapa bahagian badan macam mata dan mulut serta kerap kencing dan berak.

Kami hanya nasihat Ibu supaya bersabar dan makan ubat, mana yang boleh bantu, kami bantu. Tak sanggup tengok Ibu sakit, tak ceria macam dulu lagi. Allah, rindu gelak tawa Ibu.


Ibu selalu tny “ Sampai bila nak mcm ni? Puasa nanti macam mana? Cik mala tu elok je.”

Kami jawab “ InsyaAllah tak lama lagi sihat lah ni Ibu, ubat ni dah serasi dengan badan, hormon dah stabil, sihat lah ni. Nanti ibu dah boleh lari 10 km dah..hahaha.”

Kami sentiasa nak ceria kan Ibu, bagi dia tak fikir pun tentang sakit nya, selalu borak, wasap selalu dan call selalu.


Ibu, moga Allah angkat darjat Ibu dan hapuskan segala doa Ibu dan tempat kan Ibu dalam syurga firdaus.


1 Januari 2020

Alhamdulillah, dah masuk tahun baru 2020.

Kesihatan Ibu tetap begitu, selera makan paling Ibu nak. Masuk nasi, asyik nak muntah sahaja. Aku selalu masa Ibu makan, datang borak-borak dengan Ibu. Itu pon, kalau waktu cuti lah, kalau waktu kerja, wasap dan call sahaja.


5 januari 2020

Ibu kerap bangun kencing malam, tak dapat tidur nyenyak waktu malam. Ibu cakap entah-entah Ibu ada kencing manis, asyik kencing je ni dan haus sampai melekat-lekat tekak. Tak tahan la penat ulang alik tandas, pinggang pun tak elok-elok juga.


Kami pun pelik kenapa Ibu punya kesihatan masih begitu, tidak bertambah baik. Faktor umur dan keserasian ubat barangkali. Kami pujuk Ibu makan ubat dan sabar dengan ujian.

Alhamdulillah, Ibu orang nya memang sabar dan disiplin tentang makan ubat. Badan sahaja lah tidak selesa sebab penat sangat dan cepat lesu.


25 Januari 2020

Hari ini cuti sempena raya cina. Aku balik rawang sebab cuti tiga hari. Amin pun dah lama tak jenguk adik-adik dia di Rawang.

Sepanjang di Rawang, hati tak sedap sahaja. Sedih fikir kan Ibu yang dah berubah, dah tak ceria dan tak macam dulu lagi. Selalu cari line telefon, tengok wasap dari Ibu, Faiz atau Hanisa.


Sebelum ke Rawang, Ibu mengadu badan panas, buka aircond, semput pula. Sakit dada sebab nafas tak cukup.

Petang tu, Faiz bawa Ibu ke klinik Sohvinder, jumpa doktor tanya kenapa makin melarat. Hipertiroid memang macam ni ke. Tiba di klinik, Ibu kena masuk oksigen dan ambil neb, sebab oksigen dah kurang iaitu 83, normal mesti lebih 90. Doktor bekalkan ubat radang, ubat asma dan antibiotik. Tambah lagi koleksi gula-gula Ibu.


Aku bergegas balik ke Melaka sebab risau kan Ibu. Makin bertambah sakit Ibu, dah melarat ke semput pula. Abang Ahmad pun balik Melaka.

Teringat lagi perbualan kami semua, niat nak pergi umrah sama-sama awal tahun depan, Ibu kalau pasal umrah memamg dia sangat excited. Tempat lain memamg ibu tak nak pergi, umrah haji boleh.

Rindu nya pergi umrah tahun 2017 dengan Ibu dan uwan. Alfatihah untuk arwah ibu dan arwah uwan.

Keesokkan hari nya, Ibu ambil lagi neb, doktor nasihat untuk ambil lagi kalau tercungap-cungap


27 Januari 2020

Ibu masih tercungap-cungap. Puas kami pujuk Ibu ke hospital, tetap bertegas tak nak pergi. Ibu, apa yang ditakut kan sangat hospital itu.

“Kalau Ibu masuk hospital susah kak, nak kencing, berak, solat, macam mana?boleh mati ni kalau Ibu masuk hospital.” Salah satu perbualan aku dan ibu. Aku angguk sahaja.

Hari ini dah masuk tiga hari Ibu masih lagi semput. Aku bawa Ibu ke klinik sohvinder untuk ambil neb, aku tanya doktor, tiroid memang begini ke doktor? Doktor cakap, ye.. lagipun, factor usia. Selesai urusan Ibu dan doktor, aku minta ibu tunggu dekat luar, aku sempat borak dengan doktor, sambil menangis, aku dah tak tahan, keluar juga air mata ini. Doktor nasihat untuk aku bertahan, “Orang tua memang tak percaya dengan hospital, tapi hidup awak mesti diteruskan macam mana sekali pun,” Nasihat doktor pada aku.


Petang tu, aku minta Abang, Adik Hanisa dan Adik Faiz berkumpul dan berbincang tentang Ibu. Tentang kesihatan Ibu dan syak kami terhadap sakit Ibu yang lain. Pada pembacaan kami, jumpa doktor dan tanya pada kawan-kawan yang ada hipertiriod, patut nya ibu boleh pulih, tapi tetap sakit dan bertambah sakut nya. Syak kami, Ibu dan ayah ada sorok kan sesuatu yang serius.

Abang Ahmad macam tak boleh terima, tapi hasil perbincangan kami, “Apa-apa yang berlaku, ini keputusan meraka, kita mesti hormati, dan terima dengan redha. Sebagai anak, laku kan tanggungjawab sebaik mungkin, Allah akan bantu mereka insyaAllah. “


31 Januari 2020


“Kak, Ibu nak pergi hospital ni, Ibu menggigil tak boleh nak jalan, nanti kau bagitau hanisa dan ahmad ye.” Ibu telefon aku waktu Subuh Jumaat.

Ya Allah, berderau darah ini, aku baru nak solat Subuh dengan amin. Tak tentu arah dibuat nya, segera ambil EL dan cakap dengan amin, aku nak ke hospital terus.

Aku sampai di hospital jam 7.30 pagi. Ibu dah di dalam terima rawatan dari doktor. Ayah dan Faiz duduk menunggu rawatan dari doktor. Masing-masing muka tak ceria fikir kan Ibu. Apa agak nya yang dirawat oleh doktor dan keputusan nya.

Jam 10 pagi, kami masih belum terima keputusan dari doktor. Secara jeneral nya, doktor terangkan dekat faiz, yang awal tadi scan, mulut Ibu dah kebas sangat, tulang belakang dah patah dan xray perut Ibu banyak najis.


Jam 1215 tengahri, aku dah tak sabar tunggu sebab doktor tak panggil-panggil lagi waris. Aku masuk zon kuning, cari Ibu, aku jumpa Ibu dan cium ibu waktu tu. Aku bagi ibu makan sandwich dan minum air.

Waktu ini, hati aku luluh sangat, Ibu dah sangat lemah. Kebetulan aku masuk, doktor di emergency ada. Doktor Nampak aku, dia pun lega dan nak terangkan keadaan Ibu. Aku panggil ayah dan Faiz untuk dengar sekali penerangan dari doktor.

Doktor mula dengan keadaan Ibu awak tidak baik sekarang ini. Ibu banyak kali cakap dengan doktor, tak perlu beritahu anak-anak, masih nak rahsiakan perkara sebenar.


Aku pujuk Ibu untuk dengar apa doktor nak beritahu. Ibu ada breast cancer advanced stage sekarang ini. Hasil ct scan awal mendapati, yang cell cancer dah spread away dekat lung, brain dan spine ibu, menyebabkan ibu kurang oksigen dan susah bernafas serta tukang belakang ibu patah. Doktor terangkan yang buat masa ini ikut keadaan ibu, dinasihatkan untuk tidak terima rawatan kerana ibu sangat lemah. Aku waktu ini, sangat-sangat terkejut sebab tak pernah tahu pun tentang kanser ibu ini. Kami semua memang tidak tahu.

Aku dan Faiz berpelukan selesai doktor terang kan tentang keadaan ibu. Kami takut akan kehilangan Ibu, sedih nak tengok Ibu terseksa. Kami tanya pada Ibu, boleh ke telefon adik beradik nya, rakan-rakan rapat dan saudara mara. Ibu masih berkeras tak nak beritahu, tapi aku pujuk Ibubaik-baik. Kata pada nya yang adik beradik ibu kan sayang Ibu, kena beritahu supaya jangan ada yang menyesali saat-saat terakhir Ibu.


Banyak lagi penerangan dari doktor, tapi yang penting nya begitu lah. Doktor akan tolong Ibu dari segi oksigen dan Ibu diberi ubat tahan sakit sahaja.

Aku tanya Ibu, kenapa rahsia kan benda ini, mesti dah lama kan?Ibu cakap 7 8 tahun juga. Ya Allah, apa lah amalan Ibu sampai ko pelihara kesihatan Ibu sepanjang tahun ini.

Ini ialah pertama kali Ibu dimasukkan ke hospital selain dari mengandung. Bayangkan terkejut nya kami dengan keadaan Ibu, masih tidak boleh percaya. Ibu yang sihat, tiada kencing manis, darah tinggi elok, jaga makan, selalu beriadah, tapi ada breast cancer advanced stage pula tu.

Kancer memang tak kenal usia, masa dan kesihatan. Kalau nak kena, memang boleh kena. Kesal kami, tidak tahu awal-awal dan tiada rawatan di buat. Ibu dan ayah, kami tahu mereka tiada sesal. Ibu memang dah bersedia, ini kami tahu.

Ibu admitted hari ini, kami pon uruskan admission dan terus naik ke wad selesai semua nya jam 2 petang macam tu.

Ibu rehat sahaja. Lapar dan penat menunggu agak nya. Aku kalau ada kesempatan memang menangis dan meleleh air mata sahaja.


Bermula lah rutin kami adik beradik di hospital bergilir-gilir menjaga Ibu.

Petang itu, abang Ahmad balik dan terus datang ke hospital, Ibu pun mula di datangi oleh saudara mara dan rakan-rakan di hospital.

Jumaat hingga ahad, Nur jaga di hospital waktu malam. Alhamdulillah, kami punya ahli keluarga yang sangat baik, menantu Ibu jaga Ibu, lap Ibu dan bagi Ibu makan. Ibu memang dah lemah, hanya disokong oleh oksigen dan morphin.


Isnin baru lah doktor datang dan terang kan lebih lagi, tapi tetap la yang utama ialah, kanser Ibu dah merebak, cepat atau lambat merebak mereka tidak tahu. Kami tanya tentang rawatan. Untuk keadaan Ibu, rawatan kimoterapi tidak boleh dilakukan, hanyalah rawatan paliatif sahaja.

Pertama kali aku dengar tentang penjagaan paliatif ini. Rawatan paliatif ini untuk bagi keselesaan kepada pesakit yang menunggu hari-hari terakhir. Doktor di wad beritahu yang Ibu akan dipindah kan ke PCU (Pailiative Care Unit) dalam waktu terdekat untuk jururawat dan doktor di PCU ajar kami cara untuk beri keselesaan pada Ibu bila ibu pulang ke rumah.

Rutin aku pun berubah, ada masa Hanisa jaga, ada masa aku jaga malam, kami gilir-gilir, mana-mana yang boleh ambil cuti bekerja, cuti sahaja. Aku memang dah ambil cuti seminggu. Tak tenang hati pun nak kerja.

Ibu, jika ini sahaja cara nak balas jasa Ibu besar kan akk, akk sanggup jaga Ibu setiap saat ibu hidup.


Gambar ini sewaktu Ibu nak menunggu untuk ke MRI


4 Februari 2020


Ibu dah dipindah kan ke Pailiative Care Unit (PCU). Di sini kami bebas untuk keluar masuk 24 jam sebab tujuan utama PCU ialah untuk beri keselasaan, sokongan emosi dan psikologi.

Ibu dah nampak makin ceria, dah boleh mula jalan sedikit, dan makan pun dah selera sikit. Ibu seronok sebab kawan-kawan, ahli keluarga dan anak-anak serta cucu-cucu selalu datang tengok Ibu. Rutin kami juga sama. Cuma, Ibu ada masalah untuk tidur malam, aku ingat dalam 2-3 jam sahaja waktu malam ibu dapat tidur. Aku dan hanisa gilir-gilir jaga ibu di malam hari semtara kami menunggu tarikh untuk pulang kerumah.


Di PCU, jururawat dan doktor beritahu persediaan untuk balik, kami kena sediakan katil (umar sepupu kami dah sediakan), oksigen (kami sewa dari farmasi), kerusi roda (Busu dan sediakan), alat untuk dressing sebab luka breast cancer Ibu mesti dicuci setiap hari. Alhamdulillah berkat pertolongan semua, alat-alat serta persediaan untuk bawa Ibu balik ke rumah dah ada. Jururawat juga ajar bilangan ubat, ubat di makan sebelum atau selepas makan. Antara ubat harian Ibu ialah ubat gastrik, ubat morphin, ubat tiroid, ubat oral, dan banyak lagi. Banyak gula-gula ibu ini. Takpe ibu, setakat ubat ini, insyaAllah akak dpt ingat nak dibanding kan ibu jaga akk masa sakit demam akk kecil-kecil dahulu.


Sepanjang di PCU, ramai kawan-kawan Ibu, saudara mara datang, banyak kali juga dengar Ibu jawab Alhamdulillah dapat juga solat ni.insyaAllah sihat la nanti ni. Ibu masih lagi positif dan bersangka baik pada Allah. Besar nya hati ibu untuk terima semua ini.

Sepanjang di hospital, kami penuhi segala permintaan makan Ibu, setiap hari mesti ada kuih boko ubi(amin kena cari), taufufa(abang ahmad beli), kurma blend dan isi durian belanda yang dikisar. Kami sentiasa pastikan semua ini ada. Bila malam hari Ibu nak makan, semua dah sedia dalam peti ais(memang ada disediakan di sini).


Ada satu malam, semasa jaga Ibu jam 1030 malam masa ini, Ibu tak dapat tidur, aku pun sapu la minyak relaxation Young Living belakang badan ibu. Sikat kan rambut ibu, sampai ibu selesa. Ibu tanya “ Kak tak marah ke ibu?”

“Nak marah apa nya Ibu, benda dah jadi, kena la terima, lagi pun, ini kan rezeki ibu, takdir ibu, bukan Ibu minta pun.” Balas aku

“Pandai ko jawab eh?” Ibu senyum je. Aku pun senyum dan meleleh air mata sambil sikat rambut Ibu.

Mulut Ibu tak pernah lekang dari zikir, dan bacaan surah-surah lazim. Aku kagum, dapat ke aku pengakhiran yang begini.


Rindu betul bau Ibu, wangi je.



Antara gambar-gambar di PCU



Penerangan tentang rawatan paliatif di dalam buku 26 Kes. Jangan lupa beli dan baca.







12 Februari 2020


Alhamdulillah, Ibu dah boleh dibenar kan balik ke rumah. Syukur, dapat juga Ibu balik ke rumah, selesa kan diri di rumah. Berseri-seri wajah Ibu. Yelah kan, balik rumah sendiri.


Kami di bawa oleh ambulan ke rumah, sebab nak bawa oksigen ke rumah. Ibu kena pakai oksigen setiap masa. Kalau di tanggal kan dalam 1 jam maksimum sahaja. Kalau tidak, bacaan oksigen ibu akan sangat rendah.

Rutin aku dan Hanisa sama, kami gilir-gilir jaga Ibu pada waktu malam hari. Minggu ini aku masih lagi ambil cuti untuk jaga Ibu. Minggu depan nya, waktu siang ayah jaga, waktu malam kami jaga gilir-gilir. Kami pun dah berkampung di rumah ibu. Ibu akan makan taufufa, air kurma yang dikisar, isi durian belanda yang dikisar serta jus-jus buah yang dibuat sendiri. Ada juga buah-buahan yang Ibu dah tak nak makan lagi, macam pisang dan bubur nasi yang kami buat, katanya dah muak. Jadi bubur nasi selalu kami beli sahaja. Tukar-tukar rasa.


Selera makan Ibu masih sama juga, nak makan yang lembut-lembut sahaja, taufufa tak pernah putus bekalan, sampai ke akhir hayat Ibu, dia nak makan taufufa.



Di dalam ambulan semasa perjalanan balik pulang ke rumah


17 Februari 2020


Kami dah mula bekerja. Ayah mula kan rutin untuk jaga Ibu waktu kami bekerja. Kami ajar kan ayah senarai ubat ibu, pampers Ibu kena tukar bila, dan Ibu boleh jalan ke tandas waktu nak solat. Ayah baik-baik sahaja, kami sengaja biarkan waktu berdua Ibu dan ayah begini. Yelah, mana mungkin kasih suami nak sama dengan kasih anak-anak.

Alhamdulillah, ayah tak kekok. Ibu pon suka sahaja ayah jaga Ibu semasa kami bekerja.

Ibu nampak stabil dan ceria sedikit. Malam hari tak dapat tidur, aku buka sahaja tv untuk ibu tengok.

Ya Allah, kami sayang Ibu, kami sayang ayah.


18 Februari 2020


Pagi tu, aku mandi kan Ibu seperti biasa. Sebelum pergi kerja, aku cium Ibu, cium ayah, pesan macam-macam dekat ayah.

Balik dari kerja petang itu, kami perhati muka Ibu dah lain macam, oksigen Ibu juga tak sampai 90 walaupun dah ada bantuan oksigen, hati kami mula tidak sdap.

Kenapa Ibu macam ini, nak bawa ke hospital ke, Ibu pon dah lemah untuk bangun duduk makan. Kami kata takpe-takpe, ini ok je ni, kita bagi morphin, mana tau Ibu dapat rehat, mungkin tak cukup rehat sebab ramai yang datang melawat.


19 Februari 2020


Aku tetap mandi kan Ibu macam biasa pagi itu, mandi kan di toilet, aku papah Ibu, aku mandi kan Ibu, tunggu Ibu buang air, cuci rambut Ibu, gosokkan gigi Ibu, pakai kan baju Ibu dan wangi kan Ibu sebelum Ibu solat subuh.


Aku pesan pada ayah, hari ini kena beri morphin sebab Ibu macam penat, oksigen pun kurang.

Jam 11 pagi, ayah telefon, kata ayah “ Ibu ko tak respon la kak, ayah kejut-kejut tak bangun.”

“Kesan morphin tu ayah, nnt pukul 1 ayah kejut bagi Ibu makan, dan solat zohor dengan Ibu ye ayah”Aku masih lagi berlakon tenang, padahal dalam hati ni debar sangat.

Aku telefon hanisa, minta dia balik jenguk Ibu, Hanisa beritahu pukul 3 baru dia boleh off.

Ayah telefon semula beritahu Ibu dah bangun dan dah makan solat semua. Ibu sambung tidur lagi.

Jam 4 petang, Hanisa telefon kata Ibudah tak respon, dah tanya macam mana nak buat. Aku kata “Cuba ko minta tolong doktor Hafiz dkt depan tu dik, takkan dia tak nak tolong, kan ibu jaga anak-anak dia.”

Hanisa maca segan “ Ala, nak minta tolong apa?”

Aku balas “ Boleh dia tengok-tengok kan dan bagi pendapat. “

Aku dah bergegas balik ke Durian Tunggal. Sampai di rumah, Ibu memang dah tak sedar, sekali sekala sahaja terjaga. Doktor Hafiz ada sekali semasa aku sampai ke bilik Ibu.


Doktor sampai kan yang Ibu mungkin dah tak lama lagi, kalau dia pun dalam keadaan ini, dia nak Ibu nya di rumah tunggu saat-saat terakhir bersama ahli keluarga nya.

Kami terus hubungi abang Ahmad, adik beradik Ibu dan Abah untuk datang ke rumah dan bersama dengan Ibu.


Kami gilir-gilir teman Ibu, minta Ibu baca Al Fatihah, tiga Qul, mungucap, berulang-ulang proses itu bergilir-gilir bersama yang lain. Ibu waktu tidak sedar, ada kami perasan ibu buat rutin solat. Baca Alfatihah, Surah Al-Kauthar, buat rutin solat baca tahiyat akhir sampai berikan salam, sambil tertutup tidak sedar ibu lakukan rutin ini.

Allah Allah, kami secara live saksikan kebesaran Allah ini, mungkin Ibu dah nampak syurga buat nya. Allah Allah.


20 Februari 2020


Jam 400 pagi, Ibu dah tak sedar kan diri dah lagi. Puas di kejut-kejut Ibu dah tiada respon. Kami baca kan yasin dekat dengan ibu. Berulang kali bacakan ayat-ayat alquran pada ibu.

Pukul 600 pagi nak menjelang pagi, Ibu tetap tak berubah. Masih tidak sedar kan diri. Kami gilir-gilir solat subuh, nak tinggal kan Ibu, memang tak bole, tapi kewajipan pada Allah mesti diteruskan.


Kami hubungi Doktor Hafiz, minta tolong dia. Doktor cek, dan beritahu, ibu dah takde masa lagi ni. Doktor Hafiz angkat bantal, selesa kan Ibu, dan minta kami duduk dekat dengan Ibu. Dengan di saksikan oleh ahli keluarga, ibu hembus kan nafas terakhir nya Jam 700 pagi.

Kami adik beradik dan ayah ada di sisi Ibu. Ibu meninggal kan dunia, keluarga dan harta nya jam 700 pagi.


Perkara pertama yang dilakukan oleh Amin ialah pergi ke balai polis laporkan kematian Ibu.

Ibu selesai dimandi kan jam 900 pagi, dikafankan, diimamkan solat jenazah oleh adik Faiz dan dikebumikan jam 11 pagi.





Itu lah rentetan bagaimana Ibu dan hari-hari terakhir beliau.


Terima kasih Ibu jaga kami dengan baik dan sempurna sehingga akhir hayat.

Terima kasih Ayah menjadi pasangan syurga buat ibu dan hero kami sepanjang hidup kami.

Terima kasih untuk suami, Mohd Nooramin bin Roslan, sangat memahami, sentiasa ada sebelah aku setiap kali ada apa-apa yang berlaku.

Terima kasih buat kakak ipar, Nur Hidayah, tolong jaga Ibu.

Terima kasih adik ipar, Mohd Fikkiruddin yang faham situasi ini, dapat tolong jaga kan anak-anak.

Terima kasih keluarga besan,keluarga cik Deris dan Cik Rohaya, keluarga Arwah Umi Kalthom dan adik beradik Amin, keluarga Pakcik Jamsari dan Cik Noriha untuk keberkatan rezeki kerana terjalinnya hubungan kekeluargaan buat Ibu.

Terima kasih Abah untuk doa yang baik-baik serta indah sepanjang hari-hari terakhir Ibu.

Terima kasih Ibu Long untuk penuhi setiap permintaan ibu pada akhir hayat nya.

Terima kasih Ayah Long yang tidak putus beri kata positif.

Terima kasih Angah untuk setiap sokongan hingga ibu lelapkan mata nya buat kali terakhir.

Terima kasih Ummi Mak Edah untuk setiap ilmu rumahtangga yang diberikan.

Terima kasih Cik Nab yang sentiasa di sisi Ibu hingga nafas terakhir nya.

Terima kasih Cik Rashid untuk setiap perbualan yang indah bersama Ibu.

Terima kasih Busu untuk setiap pertolongan dan limpahan kasih sayang buat Ibu.

Terima kasih Uda untuk setiap layanan yang istimewa buat Ibu.

Terima kasih Mak Long untuk segala hubungan yang baik buat Ibu.

Terima kasih Mak Anjang yang sering menjadi tempat untuk Ibu mengadu.

Terima kasih Mak Lang untuk setiap masakan yang sedap untuk Ibu.

Terima kasih Maksu untuk setiap kebaikan dan kasih sayang yang diberikan buat Ibu.

Terima kasih anak-anak buah Ibu untuk setiap senyuman yang indah buat Ibu.

Terima kasih semua cucu-cucu Ibu untuk setiap ciuman yang manis buat Ibu.

Terima kasih untuk sahabat-sahabat baik Ibu, Cik Mala, Cik Ika, Cik Sab, Cik Ratnah, Cik Zah, Cik Raja, Cik Zee, Cik Jue untuk segala kenangan dan hubungan akrab seperti adik beradik buat Ibu.

Terima kasih buat jiran-jiran, Doktor Hafiz dan Doktor Atikah, Cik Mai dan jiran-jiran yang lain untuk sillaturrahim seperti keluarga buat Ibu.


Terima kasih buat semua insan atas segala curahan dan limpahan kasih sayang, ketulusan cinta, keikhlasan doa, kemanisan senyuman dan ciuman buat Ibu, Arwah Hajjah Zaiton binti Mohamed.


Hajjah Zaiton binti Mohamed

18 Mei 1960 - 20 Februari 2020

Al-Fatihah


 
 
 

Comments


©2019 by My Site. Proudly created with Wix.com

  • facebook
  • twitter
  • linkedin
bottom of page